Dr Zambry Abdul Kadir, merasmikan Program Komuniti anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kerling, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 1 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Barisan Nasional (BN) tidak lagi membuat perkiraan peluang kemenangan dengan bersandar kepada pengundi putih, kelabu dan hitam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi N.06 Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir beranggapan setiap pengundi berpotensi untuk memberi kemenangan kepada calon Perpaduan.

Bagaimanapun beliau berkata, BN dan jentera komponen Perpaduan perlu bekerja keras dan bertanggungjawab memastikan mereka dapat menjadi menjangkau setiap pengundi sebelum hari pembuangan undi.

“Kita tidak membuat perkiraan tentang undi putih, undi tegar, undi kelabu dan sebagainya.

“Semuanya kita anggap adalah pengundi yang akan memberikan kemenangan, tanggungjawab kita untuk menjangkau seramai mungkin pengundi sebelum 11 Mei nanti.

“Ia tidak boleh (tumpu) semata-mata kepada undi putih sahaja. Undi putih pun kadang-kala kita rasa macam putih, ada orang kata ini putih.

“Yang paling mustahak ialah kita jangkau kepada semua kelompok pengundi yang ada dalam kawasan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Komuniti anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kerling, Kuala Kubu Bharu, di sini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kesemua 22 Bahagian digerakkan dengan memberi tumpuan kepada lapan pusat daerah mengundi (PDM) dalam PRK N06 Kuala Kubu Baharu.

Kata Megat, ini kerana kebanyakan pengundi khususnya ahli UMNO berada di lapan PDM tersebut yang mencecah hampir 4,500 orang. – MalaysiaGazette