Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA) akan berpindah ke bangunan kekal di Presint 11 mulai sesi persekolahan Januari tahun depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, SMAPUTRA adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) kedua di Wilayah Persekutuan selepas SMKA Kuala Lumpur berkonsepkan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang telah bermula pada tahun lalu.

Sekolah ini melaksanakan dua aliran kurikulum – SMKA untuk tingkatan 3 hingga 5 dan kurikulum TMUA tingkatan 1 dan 2.

SMAPUTRA mempunyai 25 bilik darjah untuk kapasiti 750 orang murid dan beberapa kemudahan lain yang akan siap pada 31 Oktober ini.

Kemudahan lain meliputi asrama, blok pentadbiran, blok akademik, makmal, dewan makan, dewan serba guna, surau, padang, rumah pengetua dan rumah warden.

Buat masa ini SMAPUTRA beroperasi dan berkongsi bangunan dengan SMK Presint 11 (2) yang mempunyai pelajar seramai 521 orang dan 77 orang guru. – MalaysiaGazette