Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bergambar bersama timbalannya, Hannah Yeoh dan peserta pada program Hari Wanita Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pengurusan kes jenayah melibatkan Orang Kelainan Upaya (OKU), kata Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk perkara itu dikaji semula kerana golongan OKU melibatkan pelbagai kategori dan usia.

“Apa SOP melibatkan kes jenayah berkenaan OKU. Semua ini akan diperincikan oleh JKM bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kita akan lihat secara menyeluruh SOP melibatkan golongan OKU.

“Ada keperluan untuk JKM untuk melihat kepada kategori OKU di negara ini dan beri kesedaran mengenai Autisme kepada semua rakyat,” katanya kepada media selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas mengenai kecaman netizen berhubung penahanan seorang autism berumur 22 tahun yang ditahan ekoran memegang dada seorang wanita dewasa, Selasa lalu.

Ia ekoran kenyataan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari yang berkata penahanan lelaki berkenaan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta bertindak berlandaskan batas undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Dalam pada itu, Hannah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah berjumpa dengan kedua-dua keluarga berkenan dan khidmat kaunseling sudah diberikan.

Malah katanya, keluarga wanita kini trauma akan kritikan dan kecaman yang diterima oleh netizen akibat kejadian itu.

“Tiga laporan polis dibuat kepada polis berhubung kes autisme. Ibubapa keluarga berkenan trauma. Saya mohon masyarakat bagi ruang kepada kedua-dua keluarga ini,” katanya lagi.

Pada Ahad lalu, polis menahan lelaki terbabit selepas didakwa memegang dada seorang wanita dewasa di sebuah restoran.

Lelaki berkenaan ditahan selepas mangsa membuat laporan polis pada 11 September lalu.

Polis turut memohon perintah reman terhadap lelaki berkenaan bagi memudahkan siasatan namun ia ditolak Mahkamah Petaling Jaya pada 12 September lalu. -MalaysiaGazette