Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan sebahagian penduduk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Pasar Besar Baru, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Pakatan Harapan berdepan ujian getir untuk memujuk pengundi tempatan untuk keluar mengundi beramai- ramai pada Pilihan Raya Kecil 13 Oktober ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmy Mohamed Fadzil berkata, setakat penyiasatan awal pihaknya mendapati dianggarkan lebih 30 peratus anak jati pengundi Port Dickson berurusan di luar kawasan serata negara.

“Setakat kami tahu, dianggarkan lebih 30 peratus pengundi Port Dickson kini berada di luar kawasan Parlimen ini.

“Tetapi kalau pergi ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), angka itu mungkin lebih tinggi lagi yang saya percaya mereka dipengaruhi faktor tekanan ekonomi.

“Kami harap untuk menangani masalah ini secara efektif dan memandangkan kerajaan baharu Pakatan Harapan terbentuk, maka lebih ramai anak jati PD diyakini kembali membangunkan ekonomi di sini,” katanya dalam sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PRK Pakatan Harapan di sini.

MGF30092018_KEMPEN ANWAR IBRAHIM_06
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan sebahagian peniaga sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Pasar Besar Baru, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018

Tambah beliau, selain PH, kemunculan tujuh calon yang bertanding pada PRK kali ini juga dilihat sebagai satu senario positif untuk mendekati dan memujuk semua penyokong dan pengundi tempatan untuk menyuburkan proses demokrasi negara.

“Kalau kita lihat pada setiap hujung minggu di sini, kebanyakan yang berkumpul di sini bukan orang tempatan sebaliknya orang luar yang datang beriadah dan bercuti di tepi pantai.

“Maka mengambil kira situasi itu, fokus calon kita Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah lebih ke arah pintu ke pintu, tempat awam, bertegur sapa orang ramai dalam kalangan warga PD.

“Kami juga memohon keluarga yang ada di sini jikalau ada ahli keluarganya yang berada di luar kawasan, minta mereka keluar undi pada 13 Oktober ini demi melancarkan melancarkan lagi proses reformasi.

Seramai 75,770 pemilih berdaftar di Port Dickson yang layak mengundi pada PRK kali ini.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan