Keadaan lori yang terlibat dalam nahas jalan raya selepas melawan arus di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya di Hulu Selangor, hari ini. foto Bernama

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas memandu lori secara berbahaya dan melawan arus di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya di Hulu Selangor, hari ini.

Dalam kejadian 9.15 pagi itu, lori yang dipandu suspek bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 48 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai berkata, pemandu lori pembekal ubat yang berusia 37 tahun itu memandu melawan arus sejauh tiga kilometer dari plaza tol berkenaan.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun pemandu lori yang memandu melawan arus di dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk diambil darah bagi tujuan pemeriksaan alkohol,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata siasatan awal mendapati pemandu lori yang memandu melawan arus itu itu tidak mempunyai lesen memandu, satu rekod jenayah lampau, 64 saman yang masih belum selesai dan 36 waran tangkap serta 15 kes yang memerlukan kehadiran di mahkamah.

Menurutnya, lelaki berkenaan akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya untuk siasatan bagi kes lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Video berdurasi 25 saat yang memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial hari ini.  – MalaysiaGazette