Tan Sri Rafidah Aziz bersama Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua (dua kiri), Pengerusi Biro Dasar Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Rais Hussin (kanan) dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (dua kanan) selepas selesai menghadiri sesi panel
Tan Sri Rafidah Aziz bersama Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua (dua kiri), Pengerusi Biro Dasar Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Rais Hussin (kanan) dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (dua kanan) selepas selesai menghadiri sesi panel "Malaysia Baharu Maju Bersama" pada Program Malaysia A New Dawn di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Tan Sri Rafidah Aziz menegur Kerajaan Pakatan Harapan kerana terlalu ‘taksub’ untuk menunaikan janji manifesto sehingga mengabaikan perkara-perkara yang baik.

Ia termasuk tidak melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pendidikan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan untuk berbuat demikian merugikan kerana Perdana Menteri itu adalah individu yang layak untuk menerajui kementerian tersebut.

“Banyak perubahan yang perlu dilakukan untuk sistem pendidikan negara terutama dalam aspek sistem, pengajaran, subjek dan kebolehpasaran graduan. Selain itu, kurikulum dan kaedah juga perlu dilihat semula.

“Tun mempunyai pemikiran yang baik untuk melakukan perubahan itu. Beliau sungguh gembira apabila bercerita dan berkongsi banyak idea.

“Usianya 93 tahun tetapi beliau sungguh menakjubkan apabila berkongsi tentang pembaharuan dalam sistem pendidikan.

“Tetapi kenapa disebabkan manifesto yang bodoh itu menyebabkan beliau tidak boleh memegang jawatan tersebut, kenapa terlalu berpegang dengan manifesto, kalau ada kebaikannya?” soalnya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada peserta-peserta persidangan itu.

Dr Mahathir telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan selepas Kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan tersebut sehari selepas pengumuman dibuat – dikaitkan dengan janji untuk tidak memungkiri perkara yang sudah sedia termaktub di dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette