Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2018
Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Kewujudan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah KSM dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan akreditasi kepada TVET menyebabkan perbezaan dari segi standard, sistem penarafan dan kualiti program tersebut.

Siswazah diploma TVET bagi program yang diiktiraf oleh JPK masih mempunyai akses yang terhad untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah.

Perkara ini disebabkan oleh kurikulum JPK yang memberi penekanan kepada komponen praktikal yang dianggap sebagai kurang cenderung kepada akademik, serta mekanisme jaminan kualiti yang berbeza antara MQA dengan JPK.

Sebaliknya, siswazah diploma TVET daripada institusi yang diiktiraf oleh MQA mempunyai peluang yang lebih baik untuk melanjutkan pengajian di IPT.

Perbezaan ini mengakibatkan siswazah program yang diakreditasi JPK dianggap mempunyai kekurangan dari segi peluang untuk melanjutkan pelajaran, prospek pekerjaan dan gaji permulaan.

Landskap TVET adalah tidak terselaras disebabkan program TVET ditawarkan oleh pelbagai institusi seperti agensi di bawah beberapa kementerian, pusat pembangunan kemahiran negeri dan institusi swasta.

Katanya, program TVET yang ditawarkan oleh institusi ini kebanyakannya mempunyai persamaan tetapi standard yang berbeza dan kekurangan bidang pengkhususan menyebabkan graduan TVET dikategorikan sebagai teknologis, mereka tidak diiktiraf sepenuhnya oleh industri.

Oleh itu, lepasan TVET tidak diiktiraf sebagai profesional dan tidak dapat menuntut upah yang lebih tinggi.

Kesannya, 72% lepasan TVET menerima gaji permulaan kurang daripada RM1,500 sebulan, di samping itu, kekurangan pendedahan secara praktikal dengan industri dalam kalangan tenaga pengajar TVET di institusi awam memberi impak kepada keberkesanan latihan TVET. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan