IPOH – Seorang lelaki direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung seorang pekerja stesen pam minyak di Sungkai dipukul sekumpulan lelaki akibat salah faham ketika mengisi minyak pada 6 Okt lepas.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berumur 25 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan yang membenarkan permohonan polis untuk membantu siasatan menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Lelaki itu yang juga peniaga dari Cheras, Kuala Lumpur ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah pukul 4.15 petang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman dalam kenyataan hari ini berkata seorang lagi suspek berumur 40 tahun yang ditahan di rumahnya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 17 Okt lalu direman empat hari sehingga 21 Okt.

Katanya, lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan