Sanggup guna nombor plat palsu kerana mahu elak motosikal ditarik pihak bank menyebabkan seorang lelaki ditahan polis, di lorong motosikal tol Bukit Permai di Lebuh Raya Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE).

KUALA LUMPUR – Sanggup guna nombor plat palsu kerana mahu elak motosikal ditarik pihak bank menyebabkan seorang lelaki ditahan polis, di lorong motosikal tol Bukit Permai di Lebuh Raya Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan ketika operasi sekatan jalan raya oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya sekitar pukul 7 pagi semalam.

Katanya, semasa operasi dijalankan pihak polis  telah menahan dan memeriksa sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang suspek.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, penunggang itu mempunyai lesen memandu yang sah namun semakan lanjut pada nombor pendaftaran belakang yang dipamerkan dengan menggunakan ala Mcops mendapati ianya didaftarkan ke atas sebuah kenderaan lain.

“Tujuan individu terbabit menukar serta mempamerkan nombor pendaftaran lain pada motosikalnya kerana ingin mengelak dari ditarik pihak bank kerana gagal menjelaskan bayaran ansuran bulan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Azam, susulan itu lelaki terbabit telah ditahan untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegas beliau, tindakan menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang bukan hak milik kenderaan tersebut adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. – MalaysiaGazette