Adnan Seman.

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi UMNO mempunyai kuasa penuh bagi menentukan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden.

Peguam, Adnan Seman berkata, dalam perlembagaan parti itu, jawatan Ahmad Zahid itu boleh digantung atau bercuti sehingga kes pendakwaan beliau di mahkamah selesai atau sebaliknya.

Bekas calon Barisan Nasional Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata demikian menyokong kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkaitan kewujudan Prosedur Operasi Standard (SOP) UMNO yang menetapkan bahawa jika terdapat ahli yang berjawatan tinggi didakwa di mahkamah, mereka perlu mengambil cuti sebagaimana yang dilaporkan media.

Menurut Adnan, hakikatnya melalui satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 29 Mei 2009 yang dipengerusikan oleh presidennya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, pucuk pimpinan telah menerima syor Jawatankuasa Pengurusan parti bahawa berkuatkuasa serta merta pemimpin atau mana-mana ahli parti yang didakwa di mahkamah secara automatik akan digantung semua jawatannya di dalam parti.

“Sekiranya dia berjaya di dalam proses mahkamah, dia akan mendapat kembali jawatannya,” ujar Adnan dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, beberapa perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan UMNO berkaitan kuasa dan tanggungjawab Majlis Tertinggi antara lain memperuntukkan Fasal 10.7 iaitu Menentukan taraf pendaftaran seseorang ahli (mengikut Fasal 5.7), menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli.

Fasal 10.10 pula ialah melucutkan jawatan mana-mana ahli Badan Perhubungan, Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan atas apa-apa sebab sekali pun.

Manakala Fasal 10.16 berkaitan mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti.

Malah, kata Adnan, pada 16 April 2009, jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan yang disandang Datuk Suhaili Abdul Rahman telah digugurkan oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan pendakwaan terhadap beliau di mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu,” ujarnya.- MalaysiaGazette