Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Dalam nada berseloroh, Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa rata-rata wakil rakyat mungkin sudah jemu ‘mendengar’ kata-kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau tidak begitu pasti mengapa tidak ramai yang berada dalam Dewan Rakyat ketika Najib membahaskan usul laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) semalam.

Namun pada masa yang, sambil tersenyum, Muhyiddin berkata, mungkin juga wakil rakyat sudah jemu dengan kehadiran Najib ketika ini.

“Saya tidak tahu mengapa mereka tidak dengar, mungkin sudah selalu dengar suara Najib sebelum-sebelum ini. Sudah jemu mungkin atau apa. Wallahualam,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh (PH) mengulas insiden rata-rata wakil rakyat terutama dalam kalangan PH ‘hilang’ ketika Najib membahas usul RMK-11 semalam.

Najib juga melahirkan rasa terkilan melalui catatan di laman sosialnya apabila selepas ini beliau akan menulis daripada bercakap di Parlimen selepas ini.

“Mungkin menteri yang tidak hadir mungkin mempunyai temujanji makan tengahari awal dan juga mungkin ada menteri yang terpaksa rehat kerana tidak dapat tidur malam,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Najib juga berkongsi satu gambar yang dinaikkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang menunjukan Dewan hampir kosong ketika beliau sedang berbahas.

Tambah Muhyiddin, bagaimanapun kejadian wakil rakyat terutama menteri dan timbalan menteri tiada dalam Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan bukan sesuatu yang aneh.

“Terserah kepada menteri dan anggota parlimen sama ada mereka mahu dengar atau tidak. Semuanya akan masuk direkodkan dalam hansard malah pegawai yang hadir akan mencatat juga. Ini bukan satu isu yang besar,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan