MRT2
Kerja-kerja pembinaan giat dijalankan sebelum pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Fasa 2 bagi jajaran Sungai Buloh – Kajang (SBK) pada 17 Julai depan di MRT Taman Maluri. foto HAZROL ZAINAL, 08 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Kos kontrak pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion kepada RM30.53 bilion berbanding RM39.35 bilion berikutan rundingan semula yang dilakukan antara kerajaan dan MMC Gamuda.

Rundingan terakhir antara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan MMC-Gamuda menyaksikan syarikat bersetuju dengan cadangan Kementerian Kewangan (MOF) untuk menambah potongan kos kerja bawah tanah daripada RM2.13 bilion kepada RM3.6 bilion.

“Ini bermakna kos pembinaan (tidak termasuk kos faedah, kos pengambilan tanah dan kos-kos lain) MRT2 berjaya dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion atau 22.4 peratus daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Projek MRT2 akan memenuhi keperluan penduduk Lembah Klang yang masih tidak dihubungkan dengan sistem rel dengan  menawarkan perkhidmatan MRT di sepanjang koridor berkepadatan tinggi yang menghubungkan Sungai Buloh dengan Serdang dan Putrajaya.

Dalam mesyuarat hari ini, Jemaah Menteri telahpun bersetuju dengan tawaran baru oleh MMC-Gamuda dan kos rasionalisasi yang berjaya dijalankan oleh MOF.

Menurut Guan Eng, bilangan stesen atas tanah MRT2 terus dikekalkan, kecuali dua buah stesen bawah tanah – Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) – akan ditangguhkan, mdenjadikan jumlah stesen sebanyak 33 buah  berbanding 35 stesen dalam rancangan asal.

Menurut Guan Eng, rundingan terakhir bersama MOF yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan pada 22 Oktober lalu dan tawaran baharu dengan penurunan kos sebanyak RM3.6 billion atau 21.5 peratus untuk kerja-kerja bawah tanah telah dipersetujui oleh pihak syarikat dan MOF.

Berikutan daripada persetujuan itu, katanya, Jemaah Menteri telah menerima dan meluluskan tawaran terkini daripada MMC-Gamuda pada pagi ini.

“Oleh yang demikian, keputusan untuk menamatkan kontrak kerja-kerja bawah tanah ditarik balik dan MMC-Gamuda akan meneruskan projek ini dengan kos sebanyak RM13.11 bilion.” ujarnya.

Sebelum ini, MMCGamuda telah bersetuju memberikan potongan kos sebanyak RM5.22 bilion untuk kerja-kerja atas tanah, yang diterima oleh Kementerian Kewangan Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, MMC-Gamuda hanya tawarkan potongan sebanyak RM2.13 bilion untuk kerja-kerja bawah tanah, yang tidak dipersetujui oleh MOF menyebabkan kontrak kerja bawah tanah ditamatkan.

Pada 3 Oktober 2018 jemaah Menteri meluluskan penerusan kerja pembinaan atas tanah MRT2 oleh MMCGamuda sebagai kontraktor turnkey dengan kos RM17.42 bilion berbanding dengan
kos asal RM22.64 bilion, yang merupakan penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus berbanding kos asal kerja atas tanah.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah yang bernilai RM16.71 bilion ditamatkan dan kerja-kerja yang belum siap ditender semula.

Ini adalah kerana Kerajaan Persekutuan dan MMC-Gamuda
gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah.

Susulan daripada keputusan itu, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk merunding semula atas rayuan daripada pihak MMC-Gamuda. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan