KUANTAN – Seorang doktor pelatih lelaki kerugian RM12,400 selepas terperangkap dalam penipuan sindiket Macau Scam, sehingga mendedahkan kata laluan perbankan internetnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 28 tahun mendakwa memberikan maklumat itu kepada seorang juruaudit yang kononnya menguruskan siasatan jenayah pengubahan wang haram.

“Mangsa mendakwa dia dihubungi seorang ‘pegawai’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dirinya dikaitkan dalam kegiatan itu dan diminta bercakap dengan dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis berpangkat Inspektor.

“Mereka mengatakan dirinya juga terlibat dengan kes dadah sebelum panggilan disambungkan dengan Mr Lim yang kononnya juruaudit kes yang memintanya untuk membuat pemindahan wang dalam talian.

“Mangsa memberitahu dia tidak dapat melakukan transaksi yang diminta pada masa itu, dan terus memberikan maklumat peribadinya kepada Mr Lim supaya membantunya berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir menambah mangsa mendakwa wang itu dipindahkan ke dalam akaun Bank Negara untuk tujuan ‘pembersihan dana’ daripada kegiatan jenayah tersebut.

Mangsa bagaimanapun berasa curiga dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir menambah seorang pekerja kedai alat ganti kenderaan yang berusia 27 tahun membuat laporan di IPD Kuantan semalam, kerana mendakwa ditipu sebanyak RM9,140 oleh syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa mendakwa mahu membuat pinjaman sebanyak RM40,000 daripada syarikat yang kononnya beralamat di Johor, selepas membaca iklan di laman sosial Facebook pada 23 Oktober lalu.

“Mangsa telah membuat pelbagai bayaran bermula 24 Oktober lalu yang kononnya untuk urusan pentadbiran sehingga dia berasa curiga kerana masih diarahkan berbuat demikian walaupun belum menerima wang itu,” katanya. – Bernama

Tinggalkan Jawapan