Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng amat yakin harga rumah akan mengalami penurunan antara lima hingga 10 peratus selepas pengecualian Cukai Jualan dan perkhidmatan (SST) kepada sektor pembinaan.

Kata Guan Eng, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA) juga telah menyatakan kesanggupan mereka untuk menurunkan harga rumah selepas sektor mereka dikecualikan SST.

“Dengan memberikan pengecualian cukai kepada sektor pembinaan, saya pada saat-saat akhir menerima maklumbalas positif dari REDHA pihaknya bersedia untuk menurunkan harga rumah.

“Saya sebenarnya berharap untuk lihat penurunan harga dan ini telah dicapai selepas REDHA respons terhadap keputusan kerajaan. Saya juga amat berharap 10 peratus penurunan.

“Harap-harap pihak REDHA boleh bekerja ke arah itu dan saya sedia memberikan masa sehingga ianya tercapai pada masa kelak,” katanya dalam sidang media di Parlimen sebentar tadi.

Namun pada masa yang sama, Guan Eng turut menyatakan penurunan ini tidak melibatkan projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah kerana projek berkenaan termasuk dalam kategori harga rumah terkawal.

“Penurunan ini agak sukar seandainya ini di bawah harga rumah terkawal. Yang kita sebutkan tidak termasuk rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.

“Penurunan ini untuk rumah-rumah yang baru dilancarkan. Bagi perkembangan rumah yang sudah sedia ada, kita tunggu pembentangan Bajet 2019 Jumaat nanti,” ujarnya.

Sebelum pelaksanaan cukai SST September lepas, Guan Eng pernah menyatakan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada SST sekali gus meringankan tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial.

Katanya, antara contoh bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah simen, pasir dan besi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu menambah, kerajaan akan mula mengenakan cukai SST seandianya pemaju degil tidak menurunkan harga walaupun selepas mendapat pengecualian tersebut.

“Sekiranya tiada penurunan untuk harga rumah yang belum dibina, yang belum dikenakan SST, kita tidak teragak-agak untuk kenakan cukai SST kepada mereka sebanyak enam peratus.

“Untuk rumah yang telah dibina, itu tidak apa. Itu lain kira. Tetapi yang baru ini yang kita tidak kenakan SST, kita hendak lihat penurunan,”tegasnya. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan