Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bercakap pada sidang media selepas Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 2018 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2018.

BANGIĀ – Satu rundingan meja bulat antara pihak kerajaan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam bakal diadakan di Putrajaya, 7 November ini bagi mencari penyelesaian berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau berharap rundingan itu dilakukan secara objektif dan bukannya beremosi sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

“Sebagai respon daripada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kami bagi pihak Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama, pada 7 November 2018 kita akan adakan persidangan atau perbincangan meja bulat di Putrajaya.

“Kita akan panggil semua pihak untuk memberi pandangan daripada NGO, tapi kita lebih tumpu kepada NGO Islam sebab mereka ini saya lebih bertanggungjawab kepada mereka.

“Kita akan bincang dan menerima pandangan dan pendapat secara objektif bukan secara emosi dan saya harap dapat membantu Perdana Menteri untuk mendapat input daripada kelompok ataupun NGO-NGO Islam,” katanya pada sidang media di Institut Latihan Islam Malaysia hari ini.

Terdahulu Mujahid merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah 2018 di sini.

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Tahun 2018 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2018.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang mengakui bukan mudah untuk menandatangani ratifikasi ICERD kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Perdana Menteri juga memberi jaminan satu rundingan dengan semua kaum di negara akan dilakukan sebelum Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasikan ICERD.

Rundingan itu dilakukan selepas Gabungan NGO-NGO Ummah mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan membantah ICERD di luar pekarangan bangunan Parlimen, semalam.

Mujahid juga berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu rundingan dengan semua pihak berkepentingan walaupun Gabungan NGO-NGO Ummah bertegas menolak ICERD tanpa kompromi.

“Kenapa mereka buat keputusan, kita nak panggil berbincang, patut mereka bawa pandangan mereka. Kita pun ada pandangan. Kita tidak tutup buku terus.

“Dalam keadaan kerajaan baharu ini kita buka untuk rundingan dan memberi pandangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan