Datuk Seri Najib Tun Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bercakap pada Majlis Santai Bersama Najib Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam ini tampil menjawab tuduhan bahawa beliau telah berbohong mengenai dana RM2.6 billion seperti yang disebut di dalam pojok sebuah akhbar Ahad lalu.

Dalam Facebook live video berdurasi kira-kira 45 minit itu, Najib menjelaskan satu persatu berkaitan RM2.6 billion yang dimulakan dengan latar belakang hubungan eratnya dengan Raja Arab Saudi, Almahrum Raja Abdullah.

Seterusnya Najib mendedahkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak pernah sama sekali mempersoalkan dana berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadinya.

Tambah beliau, semua urusan penerimaan dana tersebut dan dan proses penghantaran balik adalah dalam pengetahuan Bank Negara Malaysia dan pegawainya.

“Sepanjang urusan dana yang saya terima itu, tidak ada sebarang keraguan yang telah dibangkitkan oleh BNM mahupun bank yang menerima duit itu termasuk pegawai yang mengendalikan akaun itu.

“Saya menganggap bahawa semuanya telah mengikut peraturan dan tidak ada sesuatu yang boleh dipertikaikan sebab pihak tersebut tidak memberikan sebarang isyarat atau teguran berkenaan sumber dana yang diterima,” katanya.

Dalam video berkenaan, Najib mengulangi kenyataan bahawa semua dana yang beliau terima sebelum ini telah digunakan untuk urusan PRU, politik, NGO dan untuk kebajikan rakyat.

“Saya tidak pernah gunakan dana yang saya terima untuk kemewahan diri sendiri,” katanya menjelaskan kepada umum.

Dalam pada itu, Najib yakin dan percaya bahawa pihaknya mempunyai bukti-bukti kukuh dan saksi yang lengkap dalam proses pembelaan tidak lama lagi.

“Saya yakin dan percaya bahawa apa yang jelaskan ini akan dapat mencerahkan isu dana yang saya telah terima. Tidak sesiapa yang tidak akan tersinggung apabila dilempar dengan pelbagai tohmahan. Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa saya bukan pencuri, perompak mahupun seorang penyamun.

“Mudah-mudahan apabila sampai masanya kebenaran akan muncul dan segala tuduhan dan tohmahan tersebut akan lenyap. Mudah-mudahan juga penjelasan saya ini akan merungkai isu dana RM2.6 bilion. Saya berdoa semoga akan timbul dan menyerlah dan saya dapat membersihkan nama saya,” katanya lagi.

Najib turut menegaskan hubungan akrab antara beliau dan Almahrum Raja Abdullah yang bermula sekitar tahun 2009 dan mempunyai hubung kait dengan isu dana RM2.6 billion yang telah dimanipulasi oleh pelbagai pihak sehingga menjadi salah satu punca kekalahan Barisan Nasional.

Najib berkata, beliau tidak pernah berbohong dalam isu tersebut sambil mengimbau kembali hasrat Almahrum Raja Abdullah untuk membantu Malaysia dalam bentuk pemberian dana serta beberapa perkara lain termasuk tambahan kuota jemaah haji dari Malaysia.

Katanya, hubungan erat dengan Almahrum juga terbukti dengan hadiah kain kiswah yang menjadi penutup pintu Kaabah kepadanya selain anugerah King AbdulAziz Order of Merit yang dikurniakan kepadanya.

Anugerah tersebut pernah dikurniakan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladamir Putin.

Najib didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan