Kementerian Kewangan Malaysia
Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

PUTRAJAYA – Proses pelaksanaan percukaian baharu terhadap perkhidmatan atas talian yang diimport akan dilaksanakan secara berperingkat, kata Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican.

Katanya, proses itu akan dilaksanakan bermula dengan segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) perkhidmatan atas talian yang diimport dan seterusnya kepada perkhidmatan atas talian yang diimport ke pengguna (B2C).

“Ini adalah bagi mengimbangi persaingan antara syarikat antarabangsa dan tempatan.

“Sebagai contoh, penyedia perkhidmatan penstriman video Amerika Syarikat, Netflix, yang membawa kandungan dari luar negara tidak dikenakan cukai, sebaliknya syarikat tempatan, iflix, perlu membayar cukai…ini persaingan yang tidak adil,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Johan menghadiri Majlis Taklimat Khas Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan Belanjawan 2019 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dirasmikan Timbalan Menteri KKMM, Eddin Syazlee Shith.

Johan berkata, buat permulaan, kerajaan akan mengadakan hubungan dengan syarikat besar perkhidmatan atas talian untuk berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sekiranya masih berminat untuk meneruskan perkhidmatan mereka di Malaysia.

Beliau berkata, butiran lanjut mengenai pelaksanaan cukai itu termasuk pendaftaran syarikat yang menyediakan perkhidmatan atas talian yang diimport akan diumumkan oleh pihak Kastam.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan Kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2020. – MalaysiaGazette