Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
KUCHING – Tindakan Kerajaan Negeri mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum yang dikeluarkan di negeri ini akan memberi impak bukan sahaja kepada Petronas malah pasaran produk berkenaan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Menteri, yang juga Menteri Kewangan Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2019 pada Isnin lepas mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum.

“Bagaimanapun, perkara ini boleh dibincangkan kerana sebarang kenaikan kos melalui kenaikan cukai tambahan akan menyebabkan produk berkenaan tidak lagi menarik kerana ia akan menjadi lebih mahal daripada produk yang dikeluarkan di negara pengeluar minyak yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabat beliau di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Menurut Azmin lagi, sebarang kenaikan cukai tambahan mungkin memberi kesan kepada pengeluaran produk petroleum di negeri Sarawak.

“Namun, kita menghormati cadangan yang telah dikemukakan dan saya mengambil sikap yang proaktif untuk berbincang lebih lanjut tentang cadangan ini dengan Kerajaan Negeri Sarawak,” kata Azmin dan menambah Petronas turut menyatakan pandangan mereka mengenai perkara itu.

Azmin bagaimanapun menyatakan bahawa perkara mengenai cukai petroleum itu tidak beliau bincangkan dalam perjumpaan hari ini dengan Abang Johari, kecuali perbincangan dan penjelasan mengenai legasi kekayaan oleh pegawai-pegawai kanan Petronas yang turut sama semasa kunjungan hormat berkenaan.

“Kita telah menjelaskan kepada ketua menteri dan pihak Petronas akan menyediakan maklumat tambahan dan akan mengadakan perbincangan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata Kerajaan Persekutuan menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa perundingan selari dengan keputusan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai wakil yang secukupnya bagi membincang dan mengkaji semula Perjanjiian Malaysia 1963. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan