Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

IPOH – Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkuatkuasa serta merta selepas memegang tampuk pentadbiran badan induk itu sejak 21 Julai lalu.

Hasnul berkata, perletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik dan tugas selaku Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN).

Beliau berkata, walaupun mengakui sedikit kecewa dengan kritikan keterlaluan dilakukan para peminat bola sepak dan netizen di laman sosial, namun ia dianggap pengalaman bermakna yang sukar dilalui semua individu.

“Saya  tetap gembira kerana berjaya membawa Perak ke perlawanan akhir dan menjulang kejuaraan Piala Malaysia yang pada satu ketika dianggap sebagai satu perkara mustahil,” katanya memetik laporan Bernama selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kedua Pafa di sini, semalam.

Hasnul berkata, surat perletakan jawatan secara rasmi juga akan dihantar kepada Jawatankuasa Exco Eksekutif Pafa dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.

“Saya juga telah maklumkan kepada menteri besar dan beliau sendiri telah memberi kuasa sepenuhnya kepada saya untuk menentukannya,” katanya.

Beliau juga menegaskan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran itu tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Dalam pada itu, Hasnul yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong berharap skuad ‘The Bos Gaurus’ akan terus mengekalkan prestasi selaku antara pasukan bola sepak terbaik dalam Liga Malaysia.

“Ia menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Perak,” katanya.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, badan bukan kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi negeri menerima kritikan dan desakan daripada penyokong bola sepak Perak untuk meletakkan jawatannya.

Ia susulan daripada aksi dan tindakannya dianggap keterlaluan dalam meraikan kejayaan bersama Piala Malaysia yang dimenangi Perak selepas 18 tahun menanti. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan