Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam peringkat menyelaraskan harga ubat ubatan di negara bagi memastikan aksesnya menjadi mampu milik terutama untuk golongan berpendapatan rendah.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya mengakui wujud kecenderungan segelintir pihak seperti hospital swasta menaikan harga ubat ‘sesuka hati’ dan tinggi berbanding hospital kerajaan selain daripada harga tidak terkawal.

Justeru itu, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung pelaksanaan mengawal harga ubat ubatan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Saya sedia maklum dengan aduan pelbagai pihak tentang harga kawalan ubat tidak terkawal malah hospital swasta sendiri cenderung menaikan harga jika hendak dibandingkan dengan hospital kerajaan.

“Mekanisme kawalan yang dicadangkan adalah jualan siling kepada pengguna di semua saluran farmaseutikal yang dilihat paling sesuai untuk dilaksanakan serta selari dengan amalan antarabangsa.

“Langkah ini secara tidak langsung akan dapat menyelaraskan harga ubat selain daripada memastikan akses kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa yang sama, kita juga akan menjaga kepentingan semua pihak termasuk pemain industri, pengamal perubatan dan paling utama rakyat jelata mendapat manfaat daripada penyelarasan ini kelak,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Klang (PH), Charles Santiago yang mahu KKM menyatakan langkah-langkah yang diambil dalam penyelarasan ubat di negara selain daripada strategi kerajaan mengurangkan harga ubat.

Santiago juga memohon KKM untuk menjelaskan perancangan serta cadangan dalam menolong industri ubat generik tempatan sebagai langkah menurunkan harga.

Jelas Dr Dzulkefly, inisiatif kerajaan dalam membantu industri ubat generik tempatan dengan memberi keutamaan kepada ubat tersebut dalam perolehan bagi sektor awam.

“Urusan perolehan ubat-ubatan KKM adalah dilaksanakan secara tender terbuka dan pelantikan syarikat konsesi berpandukan undang-undang perolehan yang telah dikuatkuasakan,” ujarnya.

Pada tahun 2017, peratus perolehan ubat generik berbanding innovator sebanyak 53.6 peratus dengan nilai perolehan RM1,311.8 juta.

Daripada itu, sebanyak 50.3 peratus adalah merupakan ubat generik buatan tempatan.

Kawalan harga terhadap ubat generik sentiasa menjadi isu penting masyarakat kerana ia dapat dijual pada harga murah kerana syarikat tempatan tidak perlu lagi menjalankan penyelidikan yang memakan kos jutaan ringgit seperti dilakukan syarikat asal.

Penghasilan ubat generik dipersetujui masyarakat antarabangsa bagi memastikan semua terutama golongan berpendapatan rendah mempunyai akses kepada ubat. – MalaysiaGazette