Menteri Belia dan Sukan, Yb Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) diiringi Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Raja Azura Raja Mahayuddin (empat kanan) beramah mesra dengan sebahagian graduasi tajaan Peneraju pada Persidangan Peneraju Profesional Kewangan, Perbankan dan Pelaburan 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 NOVEMBER 2018

BANGI- Bilangan pemegang penganalisis kewangan bertauliah (CFA) dan pengurus risiko kewangan (FRM) terutama dalam kalangan kaum bumiputera amat membimbangkan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, ketika ini, Malaysia hanya memiliki seramai 800 CFA dan seramai 93 FRM berbanding masing-masing 4,000 CFA dan 850 FRM di Singapura.

Daripada jumlah itu, hanya seramai 115 CFA dan seramai 15 FRM terdiri daripada kaum bumiputera.

“Kerajaan maklum mengenai situasi ini dan dengan itu saya menghargai inisiatif yang diambil oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) untuk mengatasi kekurangan pakar dalam CFA dan FRM dengan mengadakan program Peneraju Profesional CFA dan Peneraju Profesional FRM.

“Program-program ini bukan sahaja menyediakan peluang pembiayaan kepada peserta tetapi memberi nilai tambah kepada kemahiran yang dimiliki mereka selain sijil.

“Saya tidak boleh bayangkan agensi mana lagi yang paling sesuai untuk menjalankan program berprofil tinggi sebegini kerana Yayasan Peneraju mempunyai rekod lampau terbaik dalam melahirkan pakar-pakar berkualiti tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Sidang Kemuncak Kewangan, Perbankan dan Pelaburan 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Tambah Syed Saddiq, penting untuk kaum bumiputera untuk mencabar diri masing-masing dan mengukuhkan keupayaan terutama dalam bidang profesional seperti CFA dan FRM.

Ini kerana lebih ramai penganalisis, pengurus portfolio dan pakar bank pelaburan diperlukan oleh negara.

“Saya mahu menggelakkan para pelajar dari lapangan bukan tradisional seperti sains aktuari, matematik, ekonomi dan statistik untuk menyertai CFA dan FRM seterusnya menceburi bidang pelaburan dan perbankan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette