Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menetapkan tempoh masa bagi semua Ahli Parlimen untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kesemua mereka berharap berbuat demikan dalam masa terdekat.

“Kerajaan tidak tetapkan tempoh akhir untuk anggota Parlimen isytihar harta.

“Di waktu ini kita tidak bagi tempoh masa. Tapi saya harap mereka akan isytihar secepat mungkin,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Mengenai Juara Anti rasuah di Institut Integriti Malaysia, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Peguam Negara Qatar, Dr Ali Fetais Al Marri dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dr Mahathir ditanya mengenai 13 Ahli Parlimen kerajaan yang belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara individu yang dilaporkan belum berbuat demikan.

Selain Anwar, Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga Ahli Parlimen Tambun antara yang belum mengisytiharkan harta.

Malah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, P Prabakaran (Batu), Datuk Seri Dr Santhara (Segamat), Awang Husaini Sahari (Putatan), Ali Biju (Saratok) dan Dr Michael Teo Yu Keng (Miri), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading), Datuk Rozman Isli (Labuan) juga masih gagal berbuat demikan.

Di samping itu, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga anggota Parlimen Tuaran, belum mengisytiharkan harta. -MalaysiaGazette

Anwar antara 13 belum isytihar harta