TAMPIN – Polis mengesahkan panggilan ancaman bom yang diterima oleh Bahagian Kecemasan, Hospital Tampin pada 5.50 pagi tadi adalah panggilan palsu.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Ramli Kasa berkata sebaik menerima panggilan kecemasan daripada Pengarah Hospital Tampin Dr Norzaliza Razali, beliau telah mengerahkan anggota di lapangan untuk ke lokasi kejadian.

“Saya juga turun ke lokasi kejadian untuk membuat penilaian awal laluan keluar masuk hospital dan juga tempat tumpuan awam seperti lobi, bahagian kecemasan dan juga surau. Hasil penelitian termasuk pemeriksaan di tong sampah, surau dan tandas, kami buat kesimpulan tiada objek-objek yang disyaki bom seperti mana yang didakwa pemanggil.

“Pihak polis yang terdiri daripada 14 anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan dua anggota dari Unit Anjing Pengesan (K9) bersama seekor anjing, mengambil masa satu jam bermula 8.40 pagi memeriksa keseluruhan bangunan dua tingkat ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut berada di lokasi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis, Dr Norzaliza dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

Beliau berkata selepas keadaan disahkan selamat, hospital berkenaan dibenarkan beroperasi semula pada 9.50 pagi.

Ramli berkata polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan individu yang membuat panggilan palsu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Tampin terima panggilan ancaman bom – bomba

“Saya nak ingatkan, polis akan mengambil tindakan tegas kepada pemanggil palsu ini kerana melibatkan ketenteraman awam,” katanya.

Norazam pula berkata seramai 29 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Rembau dan Seremban 2 serta pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikerah membantu mengawal keadaan.

Sementara itu, Veerapan berkata panggilan ancaman bom di Hospital Tampin merupakan yang kedua berlaku selepas Hospital Pakar KPJ Seremban, pada 27 Nov lepas.

“Kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia menghadapi insiden seperti ini dan kita minta polis siasat. Saya juga berterima kasih kepada bomba dan polis kerana mengambil tindakan yang sangat pantas,” katanya.

— BERNAMA