KUALA LUMPUR – Selepas Nurul Izzah Anwar meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, selang beberapa jam, Hassan Abdul Karim dari Johor pula melepaskan jawatan tersebut.

Sumber tidak rasmi  memberitahu Malaysia Gazette, Hassan telah menghantar surat menolak jawatan tersebut kerana hanya mahu kekal sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang dan ahli biasa PKR sahaja.

Ia merupakan ‘alasan’ yang sama telah dinyatakan oleh Nurul Izzah sebentar tadi melalui hebahan media.

Dalam surat tersebut, Hassan dikatakan meluahkan ‘perasaan’ dengan pelantikan tersebut yang mendapat pertikaian pelbagai pihak.

“Adalah wajar untuk saya bertindak demikian, pengerusi parti perlu dipilih secara demokratik dan telus selaras dengan prinsip perjuangan reformasi PKR.

“Saya sangat menghargai dengan kepercayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemilihan ini dan akan terus menyokong kepimpinan beliau tanpa berbelah bahagi.

“Tetapi secara rasminya saya menolak pelantikan ini yang berkuatkuasa secara rasmi pada hari ini,” antara kandungan surat dikirim kepada MalaysiaGazette.

Tadi, Nurul Izzah melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang.

Kata Nurul Izzah, keputusan tersebut sepatutnya dibuat lebih awal namun mengakui ia sesuatu yang sukar buat dirinya.

“Satu-satunya kekesalan saya ialah pengumuman ini sepatutnya dibuat lebih awal dan ini bukan satu keputusan mudah,” tegasnya. –MalaysiaGazete