Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPURĀ – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong digesa membuat sesi kaunseling khas kepada Yang DiPertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan wakil rakyat Sabah terlebih dahulu sebelum undang-undang anti lompat dibuat.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ia mesti mendapat panduan dan bimbingan daripada tokoh-tokoh agama termasuk mufti agar kesemua wakil rakyat sedar dan bertaubat terhadap kesilapan mereka.

“Harus diingat amanah adalah perkara asas yang amat penting untuk diamalkan oleh setiap pemimpin sebelum undang-undang anti lompat ini digubal.

“Agama Islam sendiri telah mengajar penganutnya agar sentiasa peka kepada sifat amanah kerana salah satu ciri sifat orang munafik itu adalah tidak berlaku amanah apabila telah diberikan amanah.

“Penghijrahan besar-besaran wakil rakyat UMNO menjadi Bebas sebenarnya boleh dielakkan jika Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Juhar tidak memancing wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk menyebelahi mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Vui Keong tidak menolak kemungkinan satu peruntukan undang-undang boleh digubal bagi menghalang wakil rakyat lompat dari parti asalnya, susulan penghijrahan beramai-ramai pemimpin Umno pada masa ini.

Bagaimanapun katanya, pandangan semua pihak kepentingan perlu diambil kira kerana ia akan menimbulkan konflik daripada aspek hak kebebasan individu untuk menyertai mana-mana parti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Akta anti lompat itu antara lain mencadangkan agar mana-mana wakil rakyat yang memutuskan untuk meninggalkan parti asalnya, maka secara automatik akan hilang kelayakannya sebagai wakil rakyat.

Zulkarnain berkata, senario politik di Sabah bakal menjadi sejarah buruk dan kekal menjadi rujukan kepada belia dan anak muda apabila Kerajaan Negeri Sabah telah bertukar tangan kerana tiadanya akta anti lompat sebelum ini.

“Jawatan Ketua Menteri yang disandang oleh Tan Sri Musa Aman telah bertukar tangan hanya kurang tiga hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan apabila berlakunya perbuatan khianat oleh beberapa orang wakil rakyat yang tidak amanah.

“Dalang yang disebut sebagai konspirasi jahat ini pula dikatakan datangnya daripada Juhar sendiri apabila beliau telah memujuk wakil rakyat BN untuk melompat parti bagi membolehkan Mohd Shafie dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah baharu,” katanya. – MalaysiaGazette