Arkib

KUALA LUMPUR – Pengumuman Kementerian Kewangan untuk menangguhkan penetapan harga petrol secara mingguan sehingga kerajaan selesai mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penguasaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) adalah suatu kenyataan yang sukar diterima.

Tindakan itu kerajaan itu bukan sahaja telah memperlekeh dan membebankan pengguna tetapi ia menimbulkan persoalan mengapa mekanisme apungan harga petrol yang dilaksanakan dahulu dimansuhkan sedangkan kaedah itu memberi kebaikan kepada pengguna dan kerajaan.

Malah, penangguhan itu juga mencetuskan pertanyaan adakah Kementerian Kewangan hanya membuat kenyataan secara semborono tanpa membuat kajian terlebih dahulu.

Dan, mengapakan Kementerian Kewangan, sebagai suatu kementerian penting dalam kerajaan boleh mengambil risiko dengan membuat pengumuman untuk melaksanaan penetapan harga pada 1 Januari 2019 tetapi apabila tiba masa pelaksanaan, menariknya semula.

jacob
Jacob George

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George yang kecewa dengan senario itu berkata, apa yang berlaku ini membuktikan kerajaan Pakatan Harapan terlalu politiking dalam polisi-polisi yang mahu diperkenalkan.

George mendakwa pernah terlibat dalam rundingan penetapan mekanisme apungan bebas untuk petrol dan diesel semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkata, proses yang dilakukan pada ketika itu cukup telus, akauntabiliti dan inklusif.

“Saya bukan mahu puji kerajaan Barisan Nasional kerana setiap kerajaan pasti ada melakukan kesilapan tetapi dalam aspek pelaksanaan dasar membabitkan rakyat dan pengguna, BN lebih telus.

“Kebiasannya sesuatu perkara yang mahu dilaksanakan akan perhalusi dengan begitu jelas daripada aspek baik, buruk, kelebihan dan kekurangan sebelum memutuskan sesuatu tindakan.

“Satu perkara lagi, setiap perkara yang dikaji pasti akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan dan ini penting kerana setiap polisi mesti disemak dan diimbang melalui konsultasi, lampas minda (brainstorming), turun padang untuk tahu keadaan sebenar, reaksi pengguna dan sebagainya.

“Tetapi ini tidak dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Akhirnya, apa yang dikatakan, akan berlaku u-turn,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menangguhkan pelaksanaan penetapan harga petrol yang sepatutnya bermula 1 Januari 2019.

Penetapan harga itu diumumkan sebelum ini selepas pelbagai pihak mempersoalkan mengapa kerajaan mengenakan cukai petroleum bagi RON95 memandangkan harga minyak dunia menyusut sejak dua bulan lalu.

Harga RON95 ditetapkan dengan subsidi sebanyak RM2.20 seliter selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, yang merupakan sebahagian daripada manifesto.

Namun sejak dua bulan lalu, harga minyak dunia susut dan berlegar sekitar AS$50 setong – sepatutnya harga RON95 dijual pada harga RM1.90 seliter atau lebih rendah.

Mengulas lanjut, George berkata, kelewatan pelaksanaan itu juga tidak memberi keadilan kepada rakyat yang terpaksa membayar cukai petroleum sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Perkara itu tidak akan berlaku jika Kementerian Kewangan tahu bahawa rakyat Malaysia begitu sensitif dengan harga RON95 memandangkan penggunaan minyak itu tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Lagipun, apakah rasionalnya jika harga minyak dunia murah tetapi rakyat Malaysia terpaksa bayar tinggi.

“Pendekatan kerajaan itu juga tidak selaras dengan aspirasi Malaysia Baharu Pakatan Harapan untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat yang diuar-uarkan sebelum ini,” katanya lagi.

Lantaran itu, George berharap isu penetapan harga minyak itu menjadi pengajaran kepada mana-mana kementerian supaya sentiasa mendahulukan pengguna dan tidak sesekali berpolitiking.

“Cukup-cukuplah ahli politik sahaja yang berpolitiking dan jangan heret pengguna sama dalam ‘peperangan’ anda,” ujarnya. – MalaysiaGazette