Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi dengan mengagihkan cukai pelancongan kepada negeri tertentu sahaja dan setakat ini tiada agihan cukai itu dilakukan.

Menteri Kewanagan, Lim Guan Eng berkata, daripada segi undang-undang cukai pelancongan merupakan hasil Kerajaan Persekutuan dan tidak timbul hak untuk mana-mana negeri menerimanya.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan terdahulu tidak berusaha untuk berkongsi dan mengagihkan hasil cukai pelancongan dengan negeri, Kerajaan Pakatan Harapan telah mengumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan yang diterima di negeri berkenaan bermula tahun 2019.

“Ini mencerminkan sikap baharu Kerajaan Persekutuan yang menghormati negeri-negeri.

“Perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan atas ihsan Kerajaan Persekutuan, agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan akan dibuat untuk semua Kerajaan Negeri dalam suku pertama tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas dakwaan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, bahawa negeri itu masih belum menerima agihan cukai pelancongan sebanyak RM2.7 Juta daripada Kerajaan Persekutuan walaupun negeri lain seperti Sabah telah menerimanya.

Abdul Karim berkata, agihan tersebut merupakan hak Sarawak dan Kerajaan Persekutuan harus membayarnya.

Guan Eng berkata, kebelakangan ini pemimpin-pemimpin utama kerajaan Negeri Sarawak telah membuat beberapa tuduhan tidak berasas terhadap Kerajaan Persekutuan untuk menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak.

Bagaimanapun, Guan Eng memberitahu, tohmahan Abdul Karim tidak benar.

“Seorang Menteri Sarawak yang bertanggungjawab dan profesional tidak harus bergantung kepada fitnah semata-mata mencari ruang mengecam Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan tidak ada negeri lain seperti Sabah yang menerima agihan pelancongan sepertimana yang difitnahkan oleh Datuk Abdul Karim,” jelas beliau.

Malah, kata Menteri Kewangan itu, setakat 30 November 2018,
Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hutang hampir RM50 Juta.

Tambah beliau, memandangkan Kerajaan  Negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada Kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette