Najib Razak

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng pernah dipenjarakan oleh mahkamah pada tahun 1998 bukan kerana mempertahankan maruah seorang gadis Melayu Islam tetapi atas kesalahan mencetak dan mengedarkan berita palsu di bawah Akta Akhbar dan Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan dan ketika itu negara ditadbir di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Guan Eng juga didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi sebelum itu tetapi hanya dikenakan denda sebanyak RM15,000 tanpa dipenjarakan.

Namun, katanya, Guan Eng memfailkan rayuan tersebut dan pada masa yang sama beliau berulang-kali mempersoalkan keputusan hakim-hakim tersebut di luar mahkamah.

Akhirnya, Mahkamah Rayuan memutuskan hukuman penjara terhadapnya.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, hakim ketika itu adalah Gopal Sri Ram (Datuk Seri) yang kini menjadi pendakwa raya bagi kes-kesnya.

“Jika diperhatikan, apabila Kit Siang mengulangi propaganda mengenai Guan Eng, Kit Siang tidak pernah menamakan siapa yang mereka tuduh sebagai perogol.

“Ini ialah kerana lelaki yang dituduh sebagai perogol itu telah menyaman DAP atas fitnah tersebut sehingga menyebabkan DAP mengaku di mahkamah bahawa kesemua tuduhan tersebut tidak berasas dan telah meminta maaf secara terbuka,” kata Najib dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

Najib berpendapat sekiranya individu yang Guan Eng tuduh sebagai perogol pada masa itu bukan pemimpin UMNO, sudah tentu isu ini tidak akan dibesar-besarkan oleh DAP ketika itu kerana ianya bukan lagi modal politik.

Bekas Perdana Menteri itu juga bertanya, selain kes yang satu itu, berapa lagi gadis Melayu Islam ataupun gadis-gadis muda dari apa juga bangsa dan agama yang dibela oleh Guan Eng selama ini.

“Siapa lagi? MenHEN (Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu) boleh jawab? Dalam ingatan saya, tidak ada.

“DAP tidak akan membuat sesuatu jika ianya tidak menguntungkan mereka dari segi politik ataupun propaganda.

“Inilah permainan setiap hari MenHEN itu sejak 60 tahun dahulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette