Datuk Mahadi Che Ngah

PUTRAJAYA – Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai hari ini.

Pelantikan Mahadi bagi menggantikan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang menamatkan perkhidmatan pada 30 September 2020 setelah berkhidmat selama dua tahun lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hari ini sambil memaklumkan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13 itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita bersyukur dengan persetujuan Perdana Menteri dan perkenan YDPA untuk melantik Datuk Mahadi Che Ngah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13 berkuat kuasa hari ini.

“Majlis Watikah dan Penyampaian Kalung Dewan Datuk Bandar akan diadakan jam 10.30 pagi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), esok,” katanya pada sidang media di Menara Seri Wilayah hari ini.

Pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13 itu dibuat mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Mahadi berkelulusan Ijazah pertama dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Malaysia dan seterusnya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Bandar di Universiti Strathclyde, Glasgow.

Mahadi memulakan kerjaya di DBKL sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada April 1983 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Eksekutif (Perancangan) sebelum bersara wajib pada September 2019.

Annuar juga berkata, pelantikan Mahadi sesuai dengan pengalamannya selama 36 tahun di DBKL dan ia memberi kelebihan dalam aspek pengetahuan, kemahiran serta pengalaman berkaitan pengurusan bandaraya dan dasar perancangan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Saya percaya dengan pengalaman luas serta daya kepimpinan yang dimiliki Mahadi ini berupaya menerusi DBKL untuk terus cemerlang ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Prihatin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette