Calon Perikatan Nasional N.01 Sungai Air Tawar, Mohamad Zaidi Selamat (kiri), Calon Barisan Nasional N.01 Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail (kanan) bergambar selepas diumumkan layak untuk bertanding pada hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Dewan Seri Nakhoda, Sabak Bernam. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JULAI 2023.

SABAK BERNAM – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail tidak mahu memandang ringan pertandingan kali ini meskipun sudah mempunyai pengalaman dan cukup dikenali pengundi di kawasan berkenaan.

Dalam masa yang sama beliau juga tidak memandang faktor calon muka baru yang ada pada lawannya sebagai alasan untuk bekerja sambil lewa kali ini.

Jelasnya, memontum untuk terus bekerja keras akan tetap menjadi keutamaannya sepanjang waktu berkempen.

“Saya tidak pernah pandang ringan siapa sahaja lawan saya. Bagi saya paling penting tanggungjawab kita sebagai pemimpin yang telah diberikan amanah. Sejauh mana melaksanakan itu, soal siapa yang bertanding saya tidak meremehkan saya raikan demokrasi, saya ucapkan selamat bertanding kepada lawan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas selesai Penamaan Calon yang berlangsung di Dewan Seri Nakhoda.

Jelas beliau, memberi keutamaan dan berkhidmat kepada pengundi akan menjadi misi dan visi yang akan diteruskannya. 

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih semua penyokong yang hadir hari ini yang luar biasa dan ini memberikan saya  untuk saya terus berbakti kepada masyarakat di DUN ini. Tradisi diteruskan misi diperkasakan dan rakyat diutamakan, Sungai Tawar di hatiku,” tambah beliau.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Zaidi Selamat yang mengaku kekok pada mulanya mendakwa semakin yakin selepas melihat sambutan dan penerimaan akar umbi di kawasan tersebut.

Walaupun berasal daripada Sekinchan namun kerana jawatannya sebagai Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sungai Air Tawar sebelum ini dan manoriti keluarga yang berada di situ, Zaidi tidak akan canggung di kawasan berkenaan.

“Pada saya ada beberapa perkembangan yang baik walaupun peringkat awal saya terkejut tetapi selepas itu kita membina pasukan dan mula akrab dan memulakan beberapa langkah seawal subuh tadi.

“Saya yakin bahawa Dun ini mampu PN tawan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette