Pistol dan peluru hidup antara barang rampasan yang diperoleh daripada suspek kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA selepas ditahan di Kelantan semalam. Foto MALAYSIA GAZETTE, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Polis menemui sepucuk pistol Glock 19 dan peluru hidup pada suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ketika ditahan di Kota Bahru semalam.

Peluru yang ditemui termasuk sebutir sebutir peluru hidup di dalam pistol, satu kelopak mengandungi lapan butir peluru hidup dan satu kotak hitam yang mengandungi 24 butir peluru hidup.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang hasil intipan dan risikan yang dibuat di seluruh negara.

Menurutnya, suspek tidak memberi kerjasama kepada polis ketika ditahan sehingga berlaku pergelutan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap kepada media mengenai tangkapan suspek kes tembak di KLIA 1 pada sidang media di Kelantan. Foto MALAYSIA GAZETTE, 16 APRIL 2024.

Suspek yang ditahan di hadapan Hospital KPJ Perdana Kota Bahru itu telah menginap di sebuah hotel selepas tiba di Kelantan pada 14 April 2024, selepas zohor.

Suspek didapati telah menggunakan salah satu daripada empat kad pengenalan orang lain ketika mendaftar masuk ke hotel berkenaan.

Disebabkan itu, pihak hotel tidak dapat mengenal pasti suspek yang diburu oleh polis.

Mohd Shuhaily menambah, suspek masih menggunakan kenderaan sama yang dibawa ke KLIA pada kejadian Ahad lalu ke Kelantan cuma nombor pendaftaran telah ditukar.

Selain pistol dan peluru, polis turut merampas pelbagai matawang terutama riyal, baht Thailad, empat kad pengenalan. enam telefon bimbit pelbagai jenama, pasport milik suspek dan pakaian.

Suspek akan dibawa ke Selangor hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8, Akta Senjata 1960 iaitu cubaan membunuh dan pemilikan senjata api tanpa kebenaran dan lesen yang sah.

Setakat ini, katanya, motif kejadian masih agenda peribadi dan tiada yang lain.

Lelaki berkenaan telah direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi Ahad lalu, suspek telah melepaskan tembakan dengan mensasarkan isterinya yang sedang menunggu ketibaan jemaah umrah.

Suspek dan isterinya dikatakan terlibat dalam perniagaan pelancongan.

Lelaki itu didakwa telah membaling mercun sehingga mencederakan orang awam sebelum mendekati isterinya yang dikawal oleh pengawal peribadi di balai ketibaan KLIA.

Suspek melepaskan dua tembakan – satu peluru tersasar manakala satu lagi terkena pada perut seorang pengawal peribadi isterinya.

Mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Cyberjaya. – MalaysiaGazette