Datuk Seri Hamzah Zainudin SOSMA amendment
Home Minister Datuk Seri Hamzah Zainudin Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Jika usul pindaan Subseksyen 4( 5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak diluluskan, ia akan menyebabkan penjenayah terus bermaharajalela.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pindaan itu bagi memberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk melaksanakan peranan mereka.

“Sebagai individu yang sayangkan negara dan keamanan pasti akan memberikan ruang yang secukupnya kepada pihak PDRM dalam melaksanakan peranan mereka.

“Oleh yang demikian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 adalah mekanisma terbaik terbaik dalam menangani ancaman keselamatan.

“Oleh itu tempoh kuatkuasa Subsekyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 perlu dilanjutkan lima tahun lagi mulai 31 Julai 2022,” katanya ketika membentangkan Subseksyen 4(5) SOSMA di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah sebelum itu memohon untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) selama lima tahun lagi mulai 31 Julai depan membolehkan pihak berkuasa untuk terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Katanya, pelanjutan itu akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

“Peruntukan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.

“Tambahan pula, siasatan kes membabitkan kesalahan keselamatan, terutama jenayah keganasan dan jenayah terancang adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan bagi mendapatkan keterangan daripada orang yang ditahan ketika pengumpulan bukti berkaitan bagi tujuan pendakwaan, termasuk pengesanan rakan sejenayah yang masih bebas,” katanya.

Untuk rekod, tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun saja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang di dalam penguatkuasaannya, namun ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Mengikut Subseksyen 4(3), tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan mengikut seksyen ini semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik mana-mana individu. – MalaysiaGazette