Siti Sarimah Sheik Abdul Rahman (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 19 Dis 2016.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 orang atau 7.25 peratus daripada 193 calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2016 Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kampung Pandan di Kuala Lumpur memperolehi gred semua A dalam peperiksaan itu

Pencapaian ini menurun sedikit berbanding keputusan tahun sebelumnya, iaitu 25 pelajar (1.48 peratus) daripada 184 calon berjaya memperolehi gred semua A.

Bagaimanapun, Pengetua sekolah kluster kecemerlangan itu, Siti Sarimah Shaik Abdul Rahman berpuas hati dengan pencapaian itu apabila peratusan pelajar menguasai tahap minimum meningkat daripada 97.28 peratus (2015) kepada 98.45 peratus.

Katanya, seperti yang dijangkakan, subjek sains memberi impak kepada keseluruhan pencapaian sekolah dalam PT3.

“Bilangan pelajar yang hampir menjadi pelajar cemerlang adalah 44 orang kali ini berbanding 51 orang pada tahun lepas.

“Dari segi pencapaian jumlah pelajar cemerlang atau semua A, ada beberapa mata pelajaran telah mempengaruhi keputusan itu, terutama sekali sains yang menyebabkan pelajar kita tercicir markah dan dapat gred B.

“Bagi saya mereka kena baca dan meneroka sains secara mendalam. Kadang-kadang guru kita terbaik tapi anak-anak kita perlu melakukan lebih banyak soalan latihan yang mereka lihat senang namun mereka menjawab mengikutĀ teks sahaja, kurang di luar kotak.

“Kita sedar kelemahan ini dan akan mula bergerak dengan pengajaran modular yang mengaitkan setiap tajuk sains dengan persekitaran,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan rumusan keputusan PT3 sekolah berkenaan di sini.

Daripada 14 orang cemerlang, seramai 10 pelajar memperolehi gred A dalam 10 subjek yang diambil manakala empat lagi mendapat 9 A dalam 9 subjek yang diambil

Selain itu seramai 13 calon mendapat 9A 1B atau 8A1B, manakala 21 orang mencatat 8A 2B atau 7A 2B.

Beliau mengakui anak-anak muridnya perlu mendedahkan diri dengan praktikal sains dan pertanian.

“Kita mahu anak-anak kita keluar melihat persekitaran misalnya lihat bagaimana rupa bentuk pokok pisang dan eksplorasi sains,” katanya. – Malaysia Gazette