Noh Omar

SHAH ALAM – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar mendakwa sebuah yayasan yang ditubuhkan kerajaan negeri berkaitan kebajikan rakyat diketuai seorang pegawai berstatus bankrap.

Beliau mendakwa, pegawai itu dilantik untuk menerajui yayasan berkenaan berdasarkan hubungan baik dengan seorang pemimpin tertinggi kerajaan negeri, bukan diambil kira latar belakangnya.

“Pegawai ini telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sejak tahun 2008 lagi, tetapi boleh mengetuai sebuah yayasan yang ada kepentingan rakyat.

“Kita ada bukti mengenai status pegawai ini. Kita sudah buat carian di Jabatan Insolvensi Malaysia. Dia memang seorang yang sudah diisytiharkan bankrap tahun 2008.

“Kalau Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) nak tahu siapa pegawai ini, boleh tanya saya,” kata Noh pada sidang media di sini hari ini.

Pada 14 Februari lalu, Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengemparkan pekarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dengan mengusung keranda sebagai bantahan kegagalan sebuah yayasan menjaga kebajikan rakyat terutama berkaitan khairat kematian.

Yayasan itu dikatakan, bukan sahaja tidak memberi bantuan secukupnya kepada waris si mati, malah ada antara golongan sasar yang ditimpa musibah tidak menerima sebarang sumbangan.

Menurut Noh, apabila kerajaan negeri melantik pegawai yang bankrap, ini menunjukkan Mohamed Azmin tidak mengambil berat dalam pentadbirannya. – MalaysiaGazette