Hamidin Mohd. Amin.

KUALA LUMPUR – Kabinet melarang skuad Harimau Malaysia ke Pyongyang bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima arahan terbaharu itu selepas diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, arahan itu telah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menghubungi beliau pagi tadi.

Katanya, arahan tersebut disusuli surat daripada Kementerian Belia dan Sukan yang ditandatangani Ketua setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali pada tengah hari ini yang menyatakan bahawa kerajaan bersetuju skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian untuk perlawanan di Pyongyang itu atas dasar dan pertimbangan faktor-faktor keselamatan.

“Pada Khamis lalu (2 Mac 2017), persatuan telah menerima surat awal daripada Wisma Putra ditandatangani Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman yang menyatakan lokasi perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang itu dijamin selamat tetapi sebarang perubahan akan dimaklum dari semasa ke semasa.

“Namun keputusan Kerajaan Malaysia untuk mengusir keluar Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pada Sabtu lalu (4 Mac 2017) dilihat telah menjadikan situasi semasa tidak selamat untuk warga Malaysia berkunjung ke Korea Utara buat masa ini,’ katanya dalam laman sesawang FAM hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan arahan terbaharu itu, FAM telah menghantar surat mengenai keputusan tersebut kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebentar tadi.

“Surat itu dihantar untuk sekali lagi memohon AFC supaya lokasi perlawanan tersebut ditukar dari Pyongyang ke tempat lain iaitu gelanggang berkecuali atas dasar keselamatan.

“Saya juga telah menghubungi Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John yang kini berada di Kemboja bagi memaklumkan harapan persatuan supaya AFC memberi pertimbangan sewajarnya dan membuat keputusan segera mengenai venue baharu perlawanan tersebut bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pusat pada 13 Mac ini,” katanya. – MalaysiaGazette