Sultan Ibrahim Sultan, Iskandar.
Sultan Ibrahim Sultan, Iskandar.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi mendapatkan maklumat mengenai orang tengah yang cuba merasuah baginda berhubung penganugerahan pingat.

Perkara itu disahkan baginda sejurus tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur dengan kereta api yang dipandunya sendiri kira-kira jam 4.05 petang semalam, lapor sebuah laman portal.

“SPRM akan datang mengadap saya esok (hari ini) dan kami akan melihat dari pertemuan itu.

“Ya (akan dedahkan nama individu itu)… satu nama. Saya rasa terhina dengan perkara itu (cubaan merasuah oleh orang tengah),” titah baginda.

Dalam laporan itu baginda enggan mendedahkan identiti individu yang cuba merasuahnya kepada media.

Bagaimanapun, baginda ada menjelaskan nama dan gelaran individu terbabit semakin panjang.

Sultan Ibrahim turut memberitahu individu tersebut bukanlah dari pihak berkepentingan dalam kerajaan, namun dia berasal dari Kuala Lumpur.

“Bukan menteri. Kerajaan bersih dalam perkara ini…tiada menteri terbabit, namun dia adalah orang tempatan dan berasal dari Kuala Lumpur,” titahnya.

Kelmarin, baginda menyatakan kesediaan mendedahkan maklumat kepada SPRM berkenaan orang tengah yang cuba merasuah baginda berhubung penganugerahan pingat.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu SPRM mengadap baginda segera supaya perkara berkenaan dapat disiasat.

Baru-baru ini baginda mendedahkan ada pihak menawarkan RM2 juta daripada supaya mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Ini Johor, kami ada harga diri. Anda tidak boleh beli anugerah dan gelaran dengan wang ringgit,” titah baginda. – MalaysiaGazette