Pesawat MAS MH2718 yang tergelincir semasa mendarat di lapangan terbang itu pada pukul 10.17 malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengarahkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BKSU) menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci dengan segera bagi mengenal pasti punca kejadian pesawat tergelincir di Lapangan Terbang Sibu Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lain berkata, hasil siasatan tersebut akan diambil untuk memastikan proses pelepasan dan pendaratan selamat di semua lapangan terbang.

Sabtu lalu, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH2718 telah tergelincir di landasan lapangan terbang tersebut. Bagaimanapun, semua penumpang dan anak kapal selamat.

“Pada masa yang sama, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dan Malaysia Airlines telah diminta bekerjasama untuk memastikan operasi berjalan seperti biasa dan semua masalah yang timbul berikutan kejadian tersebut dapat diselesaikan terutama yang membabitkan para penumpang.

“Saya juga telah mengarahkan MAHB dan Malaysia Airlines untuk sentiasa memberi maklumat terkini berkaitan jadual penerbangan kepada semua penumpang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang terkini, Lapangan Terbang Sibu telah kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 12.00am hari ini. -MalaysiaGazette