Najib Razak bergambar dengan wakil penerima pada majlis Penyampaian Bantuan Peruntukan kepada Sekolah Pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Institusi Tahfiz Berdaftar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 25 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menjadi hasratnya untuk memastikan sekolah agama di negara ini diperkasa dan diperkukuhkan sebagai institusi yang lebih cemerlang.

Katanya, bagi tujuan itu beliau memperuntukan kira-kira RM80 juta menerusi Bajet 2017 untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan Sekolah Pondok Berdaftar (SPB) Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Daripada jumlah itu, kata beliau, RM50 juta disalurkan kepada SPB dan SMAR, manakala RM30 juta lagi bagi penyelarasaan DPTN.

“Dengan peruntukan ini, kita mahu ketiga-tiga institusi agama ini akan lebih tersusun dan diperkasakan dari segi memberi ilmu pendidikan agama kepada anak kita.

“Selama ini kita memberi tumpuan kepada pendidikan objektif ala barat, dan sejak 2015, saya jadikan pengurusan negara kita lebih islamik.

“Sebab itu kita perkenalkan Indeks Syariah supaya setiap pengurusan kita lebih ke arah islamik dan orang lain tidak boleh salahkan kita, sebab kita sudah ada dan sudah laksanakannya melalui Maqasid Syariah,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian mock cheque bantuan peruntukan kepada SPB, SMAR dan Institusi Tahfiz Berdaftar (ITB) di Dewan Banquet, Seri Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

SPB, SMR dan ITB Kelantan penerima paling banyak bantuan iaitu RM20.88 juta melibatkan 133 sekolah dan institusi, diikuti Kedah (RM13.25 juta/104), Selangor (RM9.22 juta/206), Perak (RM7.15 juta/76), Johor (RM6.28 juta/104) dan Pahang (RM4.92 juta/57).

Pulau Pinang turut menerima bantuan sebanyak RM4.18 juta melibatkan 40 sekolah dan institusi (Negeri Sembilan (RM3.60 juta/25), Terengganu (RM2.71 juta/14), Wilayah persekutuan (RM1.36 juta/16), Melaka (RM1.24 juta/14), Sarawak (RM853,460/17), Perlis (RM730,400/11) dan Sabah (RM39,540/dua).

Menurut Najib, kerajaan memberi tanggungjawab kepada Jakim untuk menyelaras dan menguruskan pengagihan peruntukan itu.

“Apa yang dilakukan kerajaan ini tidak perlu dilakukan oleh mana-mana negara Islam dan peruntukan ini dianggap sebagai sejarah negara dalam usaha memperkasakan institusi pondok dan tahfiz,” katanya. – MalaysiaGazette