KUALA LUMPUR – Pembinaan tiga konkrit rasuk bagi pembinaan platform Projek Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) tidak dibina dalam kawasan parameter kediaman penduduk Villa Suria.

Sebaliknya, pemilik DASH, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) berkata, pembinaan dibuat di tanah kerajaan.

“Kerja-kerja pembinaan di kawasan Villa Suria belum dimulakan tetapi kajian kerosakan sedang dilakukan terhadap kediaman-kediaman yang berpotensi mendapat impak tinggi daripada pembinaan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengendali lebuh raya itu mengulas mengenai kebimbangan penduduk Villa Suria yang khuatir pembinaan konkrit rasuk akan menceroboh kediaman mereka.

Menurut syarikat itu, projek tersebut telah dijelaskan dalam sesi pertemuan dengan para penduduk sejak tahun 2012.

Malah, mesyuarat bersama penduduk telah dilakukan pada 15 Februari 2012 di Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) dan pameran awam telah berlangsung pada 8 hingga 22 Februari 2012.

Mesyuarat selanjutnya dengan Jawatankuasa Persatuan Penduduk juga telah diadakan pada 24 Mac 2017 dan terbaharu 5 Mei lalu.

Prolintas berkata, pihaknya telah menerima kelulusan daripada MBSA dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menjalankan ujian tanah di atas tanah milik kerajaan itu.

Jelasnya, sebagai keperluan pembinaan dan langkah keselamatan, DASH akan membina papan penutup ketinggian 12 kaki dengan papan tanda tidak boleh masuk atau keluar ke kawasan penempatan semasa tempoh pembinaan.

Ia akan diruntuhkan apabila selesai pembinaan

Selain itu, dinding penahan baharu yang berfungsi sebagai penghalang bunyi akan dibina untuk menggantikan struktur yang dikeluarkan.

“Sebagai tambahan, kita sedang menimbang cadangan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan pembinaan,” menurut Prolintas.

Berhubung menambah baik persimpangan Puncak Perdana, katanya, projek itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran aliran trafik di Persiaran Mokhtar Dahari.

Jelasnya, projek itu diminta oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ia juga sebahagian daripada integrasi DASH dan Persiaran Mokhtar Dahari.

Sebaik sahaja selesai dinaik taraf, persimpangan akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya.

Pembinaan pusingan U di persimpangan Puncak Perdana adalah reka bentuk terbaik dan diluluskan oleh JKR berdasarkan kepada keperluan dan spesifikasi yang ditetapkan oleh JKR dan memenuhi syarat Audit Keselamatan Jalan Raya yang berkaitan dan diluluskan untuk pembinaan.

“Kami akan memberi jaminan kepada penduduk di Villa Suri bahawa semua aktiviti pembinaan termasuk pembinaan konkrit rasuk memenuhi spesifikasi pembinaan yang ditetapkan oleh MBSA, LLM, JKR, Bahagian Keselamatan dan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

“Pemantauan berterusan dilakukan selaras dengan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” kata Prolintas. – MalaysiaGazette