Puntung semakin kritikal akibat kanser sel skuamus.

KUALA LUMPUR – Puntung, badak Sumatera betina, salah satu daripada tiga yang terdapat di Malaysia kini semakin kritikal kerana menghidap kanser sel skuamus.

Pengarah Hidupan Liar Sabah (SWD), Augustine Tuuga berkata, sebelum ini Puntung telah menjalani pembedahan gigi dalam usaha menyelamatkan spesiesnya.

“Kami fikir kami telah menyelamatkan Puntung daripada jangkitan gigi yang mengancam nyawanya beberapa bulan yang lalu,” katanya.

“Tetapi sekarang, bengkak di pipi kiri Puntung disebabkan jangkitan pada akar giginya berpunca daripada sesuatu yang serius,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bengkak di pipi Puntung ini semakin membesar selepas pembedahan dan dua biopsi mengesahkan Puntung menghidap karsinoma sel skuamus.

Tuuga berkata, kanser itu telah merebak dengan pantas sejak beberapa minggu lalu dan Puntung tidak lagi boleh bernafas melalui lubang hidung kirinya.

“Puntung juga tidak boleh lagi bersuara dan sedang menanggung kesakitan,” tambah beliau.

Selain memberi ubat penahan sakit, tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi.

Katanya, Jabatan Perhilitan sudah tiada pilihan kecuali bersetuju dengan nasihat perubatan profesional dan pihaknya telah diberi kuasa untuk membenarkan euthanasia, walaupun keputusan itu amat sukar dibuat. – MalaysiaGazette