Mohd Isa Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Isa Samad bersetuju untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan rela hati, kata Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV baharu berkuat kuasa serta-merta.

Bagi menghargai Isa, beliau dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), juga berkuat kuasa serta-merta.

Najib berkata, sebelum itu beliau telah menemui Isa dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bagi membincangkan secara mendalam mengenai masa depan FGV dan peranan Isa.

“Isa dengan rela hati bersetuju melepaskan jawatan Pengerusi FGV.

“Untuk menghargai peranan Isa, saya bersetuju melantik beliau sebagai pemangku Pengerusi SPAD,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci kepada pemilik-pemilik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Selasih, di sini Isnin.

Najib berkata, tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan dan melalui Lembaga Siasatan FGV terhadap perkara yang telah berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad serta tiga individu lain yang telah diarahkan bercuti bemula 6 Jun lepas oleh Lembaga Pengarah FGV.

“Ini dikehendaki kerana ia merupakan prinsip tadbir urus syarikat senaraian awam. Siasatan bukan bererti mereka bersalah.

“Pihak Lembaga Pengarah (FGV) akan membuat keputusan adil sebaik mungkin,” katanya.

Selain Zakaria, turut diarah bercuti ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim.

Dengan penyusunan semula, Najib berkata, ia mencerminkan hasrat kerajaan untuk meletakkan FGV di landasan yang kukuh dan FGV mempunyai masa depan yang cerah.

Ditanya mengapa Sulaiman dilantik sebagai pemangku, beliau berkata: “Ini sehingga kami membuat keputusan muktamad. Kita perlu ada perubahan segera. Kalau orang baru perlu dilantik lembaga pengarah, ia mengambil masa.

“Kami mahu FGV terus tanpa gangguan,” katanya.

Sulaiman, 67, merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV serta Pengerusi Telekom Malaysia (TM) dan Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Beliau juga tokoh yang berpengalaman luas dan pernah berkhidmat dalam kerajaan selama 38 tahun dengan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Zakaria, Ahmad Tifli, Ahmad Salman dan Kamarzaman bercuti bermula 6 Jun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam syarikat senaraian awam itu.

Kerajaan seterusnya melantik Idris sebagai pihak bebas bagi menangani kemelut tersebut. – MalaysiaGazette