Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menggesa agar Syed Saddiq Abdul Rahman dengan kadar segera mengemukakan bukti kukuh dakwaan tiga Exco Armada belot akibat bersekongkol dengan Raja Petra Kamaruddin.

Bagi Pergerakan Pemuda Kedah dakwaan tersebut adalah berat dan ianya perlu dibuktikan dengan kadar segera, kata ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

“Pemuda Kedah juga amat meragui dakwaan tersebut dan percaya ianya adalah semata-mata ingin menutup kelemahan kepimpinan Armada yang dilihat tidak matang serta kebudak-budakan.

“Pemuda UMNO Kedah juga percaya desakan tiga Exco Armada adalah serius dan ianya perlu disiasat dengan kadar segera,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa tiga exco Armada yang membuat laporan polis terhadap pimpinan PPBM itu belot kerana desakan hidup sehingga sanggup menjual harga diri kepada UMNO.

Sementara itu, Shaiful Hazizy  juga memandang serius dakwaan wujudnya perancangan dan konspirasi pemimpin PPBM bersama DOJ untuk mencalarkan imej negara.

Menurutnya, tindakan DOJ seolah-olah ada benda yang tidak kena dimana wujudnya perancangan besar atau grand design dimana tiada pendakwaan berlaku dan bersifat acah-acah sahaja.

Oleh yang demikian, pihaknya mengesyorkan agar pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dengan segera membuka kertas siasatan bagi mencari kebenaran tentang kewujudan ‘perancangan besar’ itu.

“Bagi Pemuda Kedah, Tun Mahathir Mohamad juga perlu diajar menghormati undang-undang dan pada masa yang sama maruah dan kedaulatan negara perlu terus menerus dipertahankan,” katanya.-MalaysiaGazette