Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan bahawa cukai pelancongan yang pada mulanya dijadual dilaksanakan pada 1 Julai telah ditundakan kepada 1 Ogos dengan mengambil kira tahap kesediaan pelaksanaan mekanisme tersebut.
Selain itu, Nazri  juga mengesahkan bahawa pelancong rakyat Malaysia yang memilih untuk menginap di hotel tiga bintang atau di bawah dikecualikan daripada cukai itu sementara semua pelancong asing perlu menjelaskan cukai pelancongan tanpa mengira jenis hotel yang dipilih mereka.
Beliau juga memberitahu bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan dipertanggungjawabkan untuk mengutip cukai pelancongan.
Sebelum ini berlaku percanggahan antara kenyataan JKDM dengan Nazri mengenai tarikh pelaksanaan cukai pelancongan.
Sementara JKDM mengeluarkan kenyataan bahawa cukai pelancongan akan dikuat kuasa mulai 1 Ogos, Nazri pula menegaskan bahawa cukai itu akan dikutip pada 1 Julai.
Cukai pelancongan juga menimbulkan rasa tidak puas hati kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sehingga menteri persekutuan dari dua negeri itu turut memberi sokongan kepada pendirian kerajaan negeri mereka.
Dalam pada itu, wakil perhotelan yang dihubungi memberitahu bahawa mereka masih kabur dengan pelaksanaan cukai pelancongan.
Kata seorang wakil, industri perhotelan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” selagi belum menerima sebarang surat rasmi kerajaan.