Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan Surat Tawaran Fardhu Haji kepada penerima wakil setiap negeri sambil diperhatikan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) pada majlis penyerahan surat tersebut di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 JULAI 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengingatkan Imam dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) agar tidak terpedaya dengan sebarang kenyataan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu iri hati dengan kejayaan kerajaan selepas era kepimpinannya berakhir.

“Takkan kerana 1MDB kita nak jatuhkan, nak runtuhkan kerajaan. Kita harus sama-sama dengan kerajaan. Sama-sama memberi cadangan, pandangan dan idea untuk membaiki kelemahan yang berlaku.

“Tetapi pembangkang tidak berminat untuk bersama kerajaan. Mereka lebih suka untuk melihat kerajaan jatuh. Orang seperti ini tak boleh pakai, termasuk bekas Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardu Haji – Program Khas Haji Perdana Menteri dan Yayasan 1MDB 2017 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Seramai 1,100 bakal haji melibatkan Imam dan Pengerusi JKKKP dari seluruh negara hadir menerima surat tawaran haji.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Arul Kanda.

Menurut Najib, beliau akui bukan semua isu berkaitan dengan 1MDB itu betul, tetapi sebagai rakyat yang bertamadun dan sayangkan negara, mereka tidak mengambil kesempatan itu untuk meruntuhkan kerajaan.

Kata beliau, sebahagian besar wang dari 1MDB digunakan dengan perkara yang berkaitan untuk kepentingan rakyat seperti mencapai hajat mereka menunaikan fardu haji.

“Sebahagian daripada kewangan 1MDB kita gunakan untuk program khas haji. Sebanyak RM57 juta telah dibelanjakan untuk program ini sahaja.

“Bahkan, beratus juta ringgit lagi kita gunakan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara. Kebaikan ini tidak disebut pun oleh pembangkang termasuk Dr. Mahathir.

“Tetapi, saya serahkan kepada tuan-tuan (Imam dan JKKKP) serta rakyat untuk memberi kesedaran kepada yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette