Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali bercakap ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di pejabat PERKASA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak supaya hukuman paling berat dikenakan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam ‘sindiket’ import daging babi yang bercampur dengan daging kambing di Gelang Patah.

Dalam satu kenyataan, presidennya Datuk Ibrarim Ali percaya kegiatan yang sengaja dibuat bagi mengaut keuntungan yang maksimum ini, bersifat biadap kerana menyebabkan ramai orang Islam di negara ini termakan daging babi.

Justeru, beliau menyeru agar Kementerian Pertanian selaku pengeluar permit import, segera mendedahkan nama syarikat yang terlibat supaya orang awam peka dengan tindakan berjaga-jaga yang boleh diambil selanjutnya.

“Perkasa mendesak Kementerian Pertanian yang mengeluarkan permit import mendedahkan segera nama syarikat kurang ajar ini. Orang ramai harus diberitahu nama syarikat berkenaan,” katanya.

Ibrahim juga tidak menolak kemungkinan terdapat orang kenamaan yang mungkin terlibat dalam kegiatan tersebut sekiranya nama syarikat terlibat serta lembaga pengarahnya tidak didedahkan pihak berkuasa.

“Adakah Syarikat Bumiputera atau Syarikat Ali Baba atau Syarikat bukan Bumiputra. Siapakah Pengurusi dan Ahli Lembaga Pengarah dan CEOnya. Berapa banyak permit import yang dikeluarkan kepada syarikat biadap ini.

“Jika ada mana-mana pihak cuba menyebunyi nama syarikat, Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Saham kepada pengetahuan umum, ini bermakna ada ‘dalang ternama yang terlibat’.

“SPRM wajib segera menyiasat semua pihak dan pihak Polis Bahagian Jenayah Perdagangan juga wajib turut menyiasat. Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ada dan boleh digunakan mendakwa puak si bedabah ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette