Najib Razak

MACHANG – Roh perjuangan yang ikhlas untuk rakyat, barisan kepimpinan yang padu dan wala kepada pemimpin adalah tiga prinsip utama yang menentukan kejayaan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sebaliknya, perjuangan yang berasaskan balas dendam, kekecewaan dan material pasti akan menemui kegagalan.

“Kalau perjuangan itu berdasarkan roh perjuangan yang suci untuk melakukan sesuatu yang terbaik, maka insya-Allah akan berkat perjuangan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang, di sini, hari ini.

Najib yang juga Presiden UMNO turut berharap akan berlaku perubahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 berbanding pilihan raya sebelum ini memandangkan sokongan terhadap UMNO dan BN di negeri itu bertambah baik.

Sementara itu, Najib berkata, sebanyak 418 unit rumah PPR dengan kos RM75 juta yang sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini, dijangka siap pada awal 2019.

Beliau berkata, PPR berkenaan yang merupakan antara lapan projek yang sedang dan telah siap dilaksanakan di Kelantan, adalah sebahagian daripada janji beliau kepada rakyat Machang beberapa tahun lepas.

Beliau berkata setiap unit rumah PPR itu dijual pada harga RM35,000 seunit dengan subsidi antara RM80,000 dan RM120,000 ke atas ditanggung kerajaan berdasarkan kos pembinaan dan harga tanah bagi sesebuah PPR.

“Kerajaan persekutuan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Kelantan. Sebagai Perdana Menteri saya tidak pernah amalkan dasar menghukum rakyat Kelantan, kalau diukur dari segi peruntukan saya beri lebih daripada pemimpin yang terdahulu.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan jumlah peruntukan yang diluluskan kepada Kelantan hanya RM3.7 bilion manakala pada Rancangan Malaysia Ke-11 peruntukannya berjumlah RM12.87 bilion, hampir empat kali ganda,\” katanya.

Antara pembangunan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan di Kelantan ialah lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, projek perumahan, hospital, jambatan baharu serta membina dan membaik pulih masjid.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Machang.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – MalaysiaGazette