Mohd. Khalil Kader Mohd.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan polis berhubung satu akaun Facebook yang menyamar sebagai Almarhum Tunku Laksamana Johor di Larkin di sini pada 12.45 tengahari ini.

Lelaki terbabit juga didapati mengeluarkan kenyataan jelik terhadap almarhum menerusi laman sosial tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, lelaki itu ditahan ekoran satu laporan diterima polis berhubung penyalahgunaan laman sosial pada 21 Ogos lalu pada 9.55 pagi.

“Susulan itu, polis Johor menahan seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab menyamar dan memuat naik kenyataan yang jelik terhadap YAM Almarhum Tunku Laksamana Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, polis Johor mengingatkan pengguna laman sosial supaya tidak menyalahguna mana-mana medium tersebut bagi tujuan menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial dan seterusnya akan diburu dan akan didakwa mengikut undang-undang yang diperuntukkan,” katanya. – MalaysiaGazette.