KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Kelantan mendakwa himpunan ungu anjuran Pakatan Harapan bersama NGO baru-baru ini memperjuangkan agenda liberal yang membahayakan masyarakat di Malaysia.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi menyifatkan himpunan blok pembangkang yang didalangi pemimpin DAP itu sebagai biadab dan cuba mencabar kesucian Islam di negara ini.

“Perhimpunan itu merupakan lanjutan daripada siri-siri kebiadapan pemimpin DAP dan orang Melayu berfahaman liberal untuk mempertikaikan ajaran agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan Pas negeri membuat laporan polis dibuat terhadap David Orok dan peguam Siti Kasim kerana kenyataan menghina Islam semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Nor Azariza menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan tersebut kerana bimbang ia akan melarat nanti.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas untuk mengelakkan tindakan mereka terus melarat,” katanya.

Pada Ahad lepas sekumpulan wanita berpakaian warna unggu dipercayai diketuai isteri bekas perdana menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali bersama pemimpin pembangkang Pakatan Harapan berhimpun bagi membantah politik toksik. – MalaysiaGazette