Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata penggeledahan serentak di enam premis dilakukan oleh polis secara adil dan profesional.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata penggeledahan serentak di enam premis dilakukan oleh polis secara adil dan profesional.

KUALA LUMPUR – Polis telah merakamkan keterangan 23 individu termasuk dari Tamil Malar, MIC dan saksi awam ekoran kejadian merusuh yang berlaku di pejabat akhbar itu pada 6 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, siasatan ke atas insiden yang diklasifikan sebagai merusuh itu masih diteruskan setelah menerima tujuh laporan polis berhubung kejadian itu.

Pada 6 September 2017 jam lebih kurang 11.30 pagi sekumpulan kira-kira 100 lelaki dikatakan telah berkumpul di perkarangan bangunan pejabat akhbar Tamil Malar dan berakhir dengan insiden merusuh.

Katanya lagi, tiga laporan diterima masing-masing daripada pihak pengurusan akhbar Tamil Malar dan MIC serta satu laporan dari orang awam yang berada di lokasi kejadian itu.

“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

“Kejadian telah dirakam melalui CCTV di tempat kejadian dan telefon bimbit selain rakaman kejadian juga turut dimuatnaik dalam Facebook.

“Hasil penelitian ke atas rakaman CCTV, rakaman melalui telefon bimbit dan rakaman yang dimuatnaik dalam Facebook mendapati kedua-dua pihak dilihat bersemuka dan kemudian berlaku pertengkaran dan tolak menolak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Amar Singh berkata, daripada rakaman jumlah individu yang terlibat adalah lebih kurang 30 orang.

Katanya, seramai tiga individu telah membuat laporan polis mendakwa dipukul dengan tangan dan mengalami kecederaan ringan.

“Setakat ini seramai 23 orang telah diambil keterangan melibatkan pihak Tamil Malar, pihak MIC dan saksi awam dan siasatan polis masih lagi diteruskan.

“Polis Kuala Lumpur meminta orang awam dan saksi bebas yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam perkara berkaitan beliau menasihatkan semua pihak supaya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa juga yang cuba menggangu-gugat ketenteraman awam dan ingin mencetuskan kekacauan,” tegasnya. – MalaysiaGazette