Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Semua sekolah agama di negara ini perlu diwajibkan mendaftar dengan Kementerian Pelajaran atau jabatan agama untuk meningkatkan tahap keselamatan mereka pada masa akan datang.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan itu perlu disegerakan memandangkan Kementerian Pendidikan sebelum ini dilaporkan menghadapi kesukaran untuk memantau dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan sekolah dan pelajar tahfiz kerana kebanyakan mereka tidak berdaftar.

Katanya, pada masa ini sesetengah sekolah agama terletak di bawah Kementerian Pelajaran dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), sekolah yang menerima bantuan kerajaan yang dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang didaftarkan di bawah kerajaan negeri.

“Dilaporkan terdapat 519 sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara sehingga April lepas namun lebih banyak lagi dipercayai tidak berdaftar.

“Setelah semua mereka didaftarkan di bawah kementerian atau pihak berkuasa lain, kerajaan perlu mewajibkan audit keselamatan secara komprehensif dibuat ke atas sekolah terbabit dan kemudahan mereka.

“Pihak berkuasa juga perlu menjalankan pemeriksaan keselamatan setiap tahun di setiap sekolah terbabit, terutamanya yang berusia lebih daripada 20 tahun dan audit itu harus melibatkan semua bangunan dan kemudahan termasuk asrama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malah tambahnya, pihak berkuasa yang menjalankan audit juga perlu mengenal pasti tahap keselamatan sekolah, termasuk bahaya kebakaran yang bakal menimpa.

Sementara itu, Lee berkata, sekiranya audit mendapati keselamatan sekolah telah dikompromi tindakan segera harus diambil sebagai langkah membetulkan keadaan.

Pihak berkuasa yang menjalankan audit tersebut juga perlu mengenal pasti tahap keselamatan sekolah, termasuk bahaya kebakaran, tambah beliau.

Katanya, jika audit tersebut mendapati aspek keselamatan sekolah telah dikompromi, tindakan segera boleh diambil untuk membetulkan keadaan.

“Saya telah acap kali menyatakan kebimbangan tentang aspek keselamatan di sekolah agama kerana banyak di antara mereka tidak berdaftar.

“Kejadian terbaru ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua dan sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji isu ini secara mendalam dan mencari penyelesaian terbaik.

“Kabinet seharusnya membincangkan isu ini dan memperkenalkan polisi khusus untuk memastikan keselamatan sekolah tahfiz seluruh negara,” tegasnya lagi.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah awal pagi tadi.

Menurut Lam Thye, sebanyak 211 kebakaran pusat tahfiz dilaporkan sejak 2015.

Pada awal Ogos ini 16 orang termasuk lapan pelajar berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di Tahfiz Al- Taqwa di Baling manakala pada 7 Mei, kebakaran turut berlaku di sekolah tahfiz di Sabak Bernam, Selangor namun tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kebakaran 30 tahfiz, sekolah pondok dan madrasah dilaporkan dengan kerugian lebih RM1. 4 juta. – MalaysiaGazette